Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berucap ketika hadir ke Majlis Penyerahan Kutipan Dana Shopee Covid-19 di Persatuan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memberi jaminan kementeriannya akan memantau rapat kes Japanese Encephalitis (JE) yang dikesan baru-baru ini.

Walau bagaimanapun kata beliau, selain KKM, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting untuk sentiasa memastikan kebersihan kawasan setempat.

Tambah beliau, penularan JE penting untuk dikawal seperti mana penyakit lain yang disebarkan oleh nyamuk seperti denggi dan Chikungunya.

Beliau berkata, setakat ini JE tidak merebak secara tidak terkawal.

“Ini penting (JE penting) macam kita sembang pasal denggi, Chikungunya, yang mana nyamuk ini adalah berpunca kawasan takungan, tidak jaga kebersihan.

“Jadi bahagian Kesihatan Awam telah buat kerjanya, kita sarankan orang awam supaya berhati-hati, jaga kebersihan,” katanya kepada pemberita di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) selepas menyempurnakan majlis penyerahan dana sumbangan Shopee dengan kerjasama MMA di sini hari ini.

Pada 27 Jun yang lalu, dua kes JE dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan dua mangsa iaitu kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun dengan seorang daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Kemudian yang terbaru semalam satu lagi kes dikesan di Pontian, Johor membabitkan pekerja kilang bahan binaan warga Bangladesh.

Pusat Kesihatan Daerah (PKD) telah melakukan aktiviti pengesanan kes aktif di lokasi tempat tinggal dan kerja pesakit itu termasuk pencarian kes di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta berdekatan, telah dijalankan dengan seramai 390 orang disaring untuk gejala penyakit JE iaitu demam, sakit kepala, kekejangan leher, lemah otot atau sawan.

Setelah disaring semua mereka adalah negatif JE.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.