Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yb Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Asia Pacific Conference of Young Scientist 2019 di Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2020.

KUALA LUMPUR –  Jualan hartanah mengalami penurunan drastik sehingga 90 peratus sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara wabak Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penurunan itu disebabkan pihak pemaju tidak dapat mengadakan pameran hartanah untuk mempromosi produk mereka.

Bagaimanapun jelas beliau, laporan yang diterima menunjukkan projek pembangunan masih kekal dan tidak mengalami kesan ketara malah lebih baik daripada suku sebelum ini

“Namun selepas pasca Covid-19 ini, jualan hartanah dijangka kembali melonjak semula terutama menerusi pengenalan program insentif yang akan dilaksanakan kerajaan seperti insentif perjanjian jual dan beli, pengecualian setem dan hasil cukai.

“(Insentif) akan mampu merangsang semula jualan industri terutama harga kediaman di bawah harga RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Asia Pacific Conference of Young Scientist 2019 anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di sini hari ini.

Beliau ditanya kesan pasca Covid-19 kepada industri hartanah selepas PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Zuraida percaya tempoh PKP selama tiga bulan masyarakat berada di dalam rumah telah memberi kesedaran kepada mereka untuk memiliki kediaman sendiri.

“Jadi selepas ini ada mahu memiliki rumah sendiri atau rumah baharu yang memiliki keluasan yang besar dan persekitaran lebih baik yang akan beri motivasi kepada mereka untuk membeli rumah bagi mengubah minda dengan menyimpan wang dalam usaha mempunyai aset sendiri.

“Kita akan sasar (aset sendiri) kepada golongan B40,” katanya. – MalaysiaGazette