Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (kanan) menerima replika cek daripada Ketua FMCG, Shopee Malaysia Tan Ming Kit ketika hadir ke Majlis Penyerahan Kutipan Dana Shopee Covid-19 di Persatuan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Sistem dua shift tidak dilaksanakan di seluruh klinik kesihatan,  sebaliknya digunakan di premis yang mempunyai cukup kakitangan dan menerima kunjungan ramai pesakit sahaja.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan memastikan tidak ada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di klinik kesihatan yang terpaksa bekerja lebih masa meskipun masa operasi dilanjutkan.

Pelaksanaan sistem dua shift ini juga seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek penjarakan sosial.

Sehubungan itu, keputusan KKM ini tidak wajar dibantah.

“Dua shift ini bukan untuk semua klinik di Malaysia. Hanya klinik terpilih, yang ramai pengunjung pesakit.

“Juga melihat kepada keberadaan kakitangan. Kalau kakitangan tidak cukup, baru kita buat. Kalau tidak cukup, kita tidak buat. Kita lihat kemampuan klinik

“Jadi tidak payahlah semua orang nak ‘melompat’ (melatah). Sebenarnya niat dan nawaitu KKM adalah sangat mulia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyampaian dana sumbangan Shoppee dan Persatuan Perubatan Malaysia di sini hari ini.

Sejak sistem itu dilaksanakan pertengahan Jun, Azmi menerima respons positif daripada kakitangan klinik kesihatan.

“Setakat ini tidak ada masalah, pelaksanaannya menerima sambutan baik,” tambahnya.

Terdahulu Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendirian KKM tidak mempunyai keupayaan bagi melaksanakan sistem syif memandangkan jumlah kakitangan di fasiliti kesihatan awam masih tidak mencukupi. -MalaysiaGazette