Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai keperluan mengetatkan atau melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekolah berdasarkan perkembangan semasa.

Sejak sekolah dibuka semula pada 24 Jun yang lalu, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berpuas hati dengan tahap pematuhan  beberapa hari ini.

“Kalau ada kes umpanya maka SOP akan diperketatkan. Kalau okay kita teruskan. Kerajaan pun sudah buat keputusan kelas-kelas lain akan mula tidak lama lagi dan taska tadika 1 Julai ini.

“Soalnya nak diperketatkan atau dilonggarkan bergantung kepada apa juga yang berlaku, setakat ini alhamdulillah tidak ada apa-apa yang berlaku,” jelas beliau kepada pemberita.

Noor Azmi berkata demikian selepas majlis penyerahan dana daripada Shopee dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kepada KKM.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua sekolah yang telah kembali dibuka sejak lima hari yang lalu kerana melaksanakan SOP dengan baik.

Dalam pada itu, Noor Azmi menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa peka terhadap tahap kesihatan anak-anak sebelum dihantar ke taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang akan dibuka semula 1 Julai.

Para tenaga pengajar juga diharap memahami setiap SOP yang perlu diamalkan sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

“Pra sekolah kebimbangan kita adalah anak-anak, mereka gembiralah tapi kanak-kanak bukan senang nak kawal.

“Ada SOP yang sudah diterangkan. Tapi saya nak ingatkan kalau anak-anak ada batuk dan selsema jangan hantar ke taska.

“Makanan disediakan di pusat itu penting sebab kita tidak mahu ada yang keluar masuk dan menyebabkan penularan penyakit,” tambah beliau.

Sebanyak 11,430 tabika dan taska di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara akan kembali beroperasi esok.

Pembukaan itu membabitkan 10,910 tabika dan 520 taska, 220,000 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang belajar di tabika dan 9,500 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun di taska.-MalaysiaGazette