Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya berunding dengan institusi kewangan seperti bank dan koperasi bagi melanjutkan tempoh moratorium selama enam bulan lagi secara bersasar demi menstabilkan keadaan ekonomi negara serta meringankan beban rakyat.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pemulihan ekonomi adalah bergantung kepada pihak awam dan swasta yang saling berkaitan secara dinamik, demi kebaikan sosial dan ekonomi negara.

Katanya, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja, 66 peratus perniagaan mengalami penurunan permintaan yang drastik sehingga menyukarkan usaha mempertahankan perniagaan sedia ada.

“Tidak dinafikan bahawa virus kecil Covid-19 telah pun menggegarkan satu dunia, dari sudut kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial di setiap negara.

“Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), KDNK 1Q 2020 Malaysia menurun kepada 0.7 peratus disebabkan oleh kesan tindakan yang diambil, baik di peringkat global dan domestik untuk membendung penyebaran wabak Covid-19.

“Dijangka pertumbuhan keseluruhan KDNK untuk tahun 2020 serendah -4.7 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Shahir berkata, ramai rakyat Malaysia yang kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan ketika tempoh PKP sehingga ke hari ini.

Terbaru kata Shahir, kira-kira 300 pekerja Media Prima Bhd. menerima notis pemberhentian kerja minggu ini dan keadaan itu menunjukkan ramai rakyat menerima kesan langsung daripada impak Covid-19 ke atas ekonomi negara.

Justeru kata beliau, DPIM mencadangkan tempoh lanjutan moratorium disasarkan kepada golongan B40, rakyat yang diberhentikan pekerjaan dalam tempoh PKP hingga PKPP, dan usahawan-usahawan kecil dan sederhana yang hilang sumber pendapatan.

Cadangan itu katanya, disyorkan agar rakyat tidak terbeban kerana kelembapan ekonomi dan memang sukar untuk mencari peluang pekerjaan yang baru dipasca Covid-19.

“Diharapkan moratorium bersasar akan meringankan beban rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast