Sebanyak 1.5 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka dan Lembah Klang bakal dilengkapi dengan meter pintar menjelang hujung tahun ini.- Gambar hiasan.

MELAKA – Pengenalan ‘smart meter’ atau meter pintar pada 2014 menimbulkan pelbagai persepsi serta persoalan antaranya benarkah teknologi terbaharu itu mampu membantu pengguna menjimatkan penggunaan elektrik.

Ada juga cakap-cakap kononnya  frekuensi radio (RF) pada meter pintar boleh mendatangkan masalah kesihatan dan mencetuskan pendedahan melampau kepada medan elektromagnet.

Dakwaan sebegini tersebar tatkala sektor tenaga negara bergerak ke arah pendigitalan bekalan seiring perubahan di peringkat global.

Semua itu akhirnya tenggelam apabila dakwaan-dakwaan itu tidak dapat disahkan kesahihannya.

Sebaliknya kumpulan pengguna yang menjadi perintis meter pintar mengakui inisiatif  Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat berguna bukan sahaja mendidik masyarakat supaya mengambil berat apa yang mereka gunakan malah ia juga sejajar langkah Malaysia untuk menjadi negara maju,

Selepas projek perintis di Melaka dan Putrajaya pada 2014, meter pintar yang mengukur dengan cekap kadar penggunaan elektrik di rumah mendapat sambutan positif pengguna dan ia akan diperluaskan ke seluruh negara.

Beberapa responden yang telah menggunakan meter pintar ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, tanggapan negatif oleh segelintir pihak berhubung teknologi itu harus diketepikan kerana penggunaan meter baharu itu sangat efisien dan memudahkan.

B. Parasuraman

B.R Parasuraman, 45, berkata, dia dapat merasai perbezaaan yang ketara setelah menggunakan meter pintar yang diperkenakan oleh TNB.

Katanya, meter pintar tersebut merupakan satu teknologi digital yang cekap dan mudah untuk pengguna memantau penggunaan letrik di rumah masing-masing menerusi aplikasi yang disediakan.

“Kita juga boleh tahu penggunaan bil letrik yang terdahulu. Dengan guna smart meter ini saya dapat tahu penggunaan elektrik sebelum dan selepas,” katanya yang merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan.

Menurut Parasuraman lagi, meter pintar dapat memberitahu kepada pengguna jumlah tenaga elektrik yang digunakan secara teratur.

Parasuraman melakukan aktiviti harian di rumahnya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 202O.

Katanya, pengguna juga boleh membuat pilihan menggunakan aplikasi mytnb untuk mengetahu tentang penggunaan elektrik serta bil semasa.

Perkara itu dipersetujui Ong Hong Chuan, 61, yang memberitahu, beliau sangat berpuas hati dengan perkhidmatan terbaru yang disediakan oleh TNB itu.

Ujarnya, banyak perkara mudah dapat dinikmati menerusi perkhidmatan tersebut dan sesuatu yang paling disukainya ialah beliau boleh membuat bayaran bil secara terus menerusi aplikasi berkenaan.

“Bagi saya smart meter ini bagus. Kita boleh tahu macamana kita guna eletrik, kalau kita mahu kurangkan penggunaannya, kita boleh kawal. Kalau kita tak mau guna lebih pun kita boleh kawal,” katanya.

Ong Hong Chuan

Kenyataan Hong Chuan itu turut disokong, Abdul Rasid Bakar, 58, yang berpendapat, bacaan bagi mendapatkan ketentuan untuk bil elektrik lebih tepat dengan menggunakan smart meter berbanding cara bacaan meter mekanikal sebelum ini.

Katanya, meter mekanikal mungkin akan banyak menyebabkan berlakunya kesalahan bacaannya dibuat secara manual oleh individu tidak seperti smart meter yang menggunakan kaedah digital.

Abdul Rasid Bakar

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Azman Abd Hamid, 54, pula berkata, dia dapat melihat perbezaan bil elektrik bulanannya yang sangat ketara selepas menggunakan meter pintar tersebut pada 2015.

Jelasnya, dia dapat merasakan penjimatan bil sehingga 30 peratus dan ia merupakan sesuatu yang sangat berbaloi lebih-lebih lagi beliau mempunyai jumlah isi rumah yang agak ramai.

Azman Ab Hamid

“Sebelum ini kita guna meter yang mekanikal, sekarang ini kita guna smart meter.

“Kalau dulu akan ada orang TNB datang umah dan catat penggunaan jumlah letrik. Bagi saya penggunaan smart meter ini lebih kepada ketepatan sebab maklumat penggunaan akan dihantar ke satu tempat untuk dibaca setiap hari.

“Saya senang hatilah bila TNB guna kaedah digital ini memandangkan saya juga cakna dengan ICT,” ujarnya.

“Sebelum ini saya sering dapat bil yang tinggi, walaupun pada awalnya saya tak nampak perubahan yang ketara.

“Tapi selepas TNB memperkenalkan smart meter ia telah berkurangan, lama kelamaan saya tengok bil saya makin berkurangan tidak seperti sebelum ini,” tambahnya.

Pelanggan, Azman Ab Hamid melakukan aktiviti harian di rumahnya di Pulau Gadong, Melaka. foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 202O.

TNB memperkenalkan meter pintar demi masa depan yang lebih hijau dan bijak tenaga kerana ia berpotensi besar mempertingkat kepuasan pelanggan menerusi amalan penggunaan elektrik yang lebih cekap tenaga.

Pemasangan meter pintar ini adalah bagi menyokong hasrat kerajaan ke arah era pendigitalan di bawah Revolusi Industri 4.0.

Ia memudahkan pengguna memantau penggunaan elektrik mereka dan merancang penggunaan elektrik ke arah penjimatan.

Pelanggan akan dapat manfaat daripada pemasangan meter pintar seperti membantu pengguna untuk merancang penggunaan elektrik dengan lebih bijak, selain berupaya mengurangkan pembaziran tenaga.

Meter pintar ini juga memiliki kelebihan termasuk membolehkan pengguna mendapatkan maklumat bil dan penggunaan secara online, sekaligus membantu mereka menguruskan bajet tenaga isi rumah dengan lebih bijak.

‘Smart Meter’ yang digunakan pelanggan di Melaka. foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 202O.

Pengguna juga mendapat kelebihan termasuk membolehkan mereka mendapatkan maklumat bil dan penggunaan secara dalam talian, sekaligus membantu mereka menguruskan bajet tenaga isi rumah dengan lebih bijak.

Sebanyak 1.2 juta meter pintar akan dipasang di kediaman penggunan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya/Cyberjaya, berbanding 290,000 yang telah dipasang di Melaka.

Pemasangan meter pintar di Melaka bermula pada 2018 selepas kejayaan projek rintis meter pintar (2014 – 2016) melibatkan 1,000 pengguna di Melaka dan Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapa tenaga solar tak diperluaskan pengunaannya kpd rakyat.. solar tak perlu meter pun

Comments are closed.