KUALA LUMPUR- Sime Darby Bhd (SDB) menafikan pernah melantik mana-mana individu, organisasi atau syarikat untuk menawarkan cadangan pelaburan kepada orang awam.

Tegas konglomerat itu, ia tidak pernah menjalankan apa-apa cadangan mahupun rancangan pelaburan kepada orang awam.

SDB juga tidak mempunyai sebarang profil atau halaman Facebook rasmi pada masa ini.

“Orang ramai disarankan untuk berwaspada terhadap individu, entiti dan syarikat yang menawarkan cadangan pelaburan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SDB, terdapat percubaan beberapa individu tidak dikenali yang mendakwa wakil syarikat dan meminta dana daripada orang awam melalui mesej palsu yang menawarkan cadangan perniagaan dan pelaburan.

Katanya, pihak berkenaan telah menggunakan nama dan logo Sime Darby tanpa kebenaran.

“Mesej palsu itu telah disebarkan melalui aplikasi pesanan ringkas WhatsApp atau halaman kumpulan palsu di laman Facebook.

“SDB ingin menegaskan bahawa cadangan perniagaan dan tawaran pelaburan itu telah disebarkan dengan niat jahat untuk menipu orang ramai. Satu laporan polis telah pun dibuat,” katanya lagi.

Orang awam juga digalakkan untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta pengesahan dengan menghubungi SDB melalui email di [email protected] atau [email protected] atau di talian 03-7623 2000.- MalaysiaGazette