Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Ketua FMCG, Shopee Malaysia Tan Ming Kit (kiri) ketika hadir ke Majlis Penyerahan Kutipan Dana Shopee Covid-19 di Persatuan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Platform e-dagang, Shopee, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia (MMAF) hari ini menyerahkan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk disalurkan kepada kakitangan barisan hadapan Covid-19.

Dana sebanyak RM699,830 yang dikumpul menerusi Tabung Shopee MMA Covid-19 sejak April lalu bertujuan membantu kakitangan KKM yang emerlukan bantuan kewangan, khususnya kalangan B40.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dana tersebut dapat meringankan beban barisan hadapan yang kurang berkemampuan.

“Jadi ini membantu frontliners khususnya yang B40, frontliners pun ada banyak kategori dan ada yang memerlukan bantuan kewangan dan memerlukan,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan di pejabat MMA, hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Shopee dan MMA kerana sanggup menubuhkan tabung dana khas untuk kakitangan KKM yang memerlukan.

Hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu adalah Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran; Presiden MMAF Datuk R. Doraisingam Pillai dan Pengurus Kategori Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Ganabaskaran ketika ditemui menyatakan beliau berbesar hati dapat bekerjasama menghulurkan bantuan kepada pengamal perubatan yang bertungkus lumus berkhidmat menangani penularan Covid-19 yang  sanggup mengorbankan masa dan tenaga. – MalaysiaGazette