Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Anak lelaki pengasas kosmetik Dnars Skincare didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut  bapa tirinya melalui aplikasi WhatsApp.

Mohamed Aqbar Hakim Jasman, 20,  mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Mageswary.

Tertuduh didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 43, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian iaitu dengan menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp dibaca “Papa igt deh kalau adik ore mati, ore g pancung belako”.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini pada 8.45 malam, 15 Jun lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau  kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin memohon jaminan dibenarkan antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri.

“Anak guam saya merupakan pengarah bagi tiga buah syarikat dan urusan perniagaan ini adalah bersama pengadu yang merupakan bapa tirinya,”katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Ogos  untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

— BERNAMA