Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah serta yag lain menunjukkan kertas tertera nombor 1 berikutan hanya 1 kes baharu dilaporkan dan kes baharu tersebut adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan tiada kes penularan dalam negara dilaporkan hari ini pada pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Selepas lebih empat bulan berperang dengan pandemik Covid-19, rakyat Malaysia boleh bergembira hari ini kerana hanya satu kes positif baharu Covid-19 dicatatkan.

Ia merupakan bilangan kes positif baharu harian terendah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Sehingga pukul 12 tengahari, sebanyak 21 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah kes aktif menurun kepada 144 kes dan tiada kes kematian dilaporkan dengan jumlah kes kematian kekal pada 121 kes.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes sembuh berjumlah 8,375 manakala jumlah kumulatif positif Covid-19 adalah sebanyak  8,640 kes.

Paling penting, tiada kes penularan tempatan direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif hari ini melibatkan seorang warganegara Malaysia berusia 21 tahun yang baru pulang dari Turki.

Dia tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Empat bulan sudah berlalu sejak kes pertama gelombang kedua Covid-19 dilaporkan di Malaysia iaitu pada 27 Februari 2020.

“KKM ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak terutamanya masyarakat Malaysia di atas pencapaian ini.

“Penurunan kes harian juga menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggung jawab sosial,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dr. Noor Hisham dan warga KKM tidak putus-putus menerima ucapan tahniah daripada petugas media yang hadir serta netizen yang menyaksikan sidang media tersebut secara langsung.

Ketika ditanya apakah terdapat kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan ditamatkan lebih awal susulan trend positif kebelakangan ini, beliau berkata, KKM akan terus memantau perkembangan semasa.

“Hari ini adalah satu permulaan yang baik tetapi apa yang lebih penting adalah mengekalkan prestasi baik ini untuk tempoh 28 hari akan datang,” katanya lagi.

Beliau berulang kali mengingatkan rakyat Malaysia agar terus menjaga kebersihan dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. alhamdulillah…moga WABAK ini DIangkat dan dihapuskan oleh ALLAH seterusnya…Darinya ia datang kpdNYA ia kembali.AMINN.Berkat kesabaran dan usaha gigih semua pihak dan Tawakal padaNYA.

Comments are closed.