Perikatan Nasional (PN) dan logo gabungan itu sepatutnya dilancarkan hari ini di Sabah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena lawatannya ke negeri itu.

KUALA LUMPUR – Ketua-ketua parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan satu pertemuaan di Putrajaya patang tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada beliau.

Mereka juga bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, ujarnya.

Selain beliau, katanya, pimpinan yang hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran Sanasee (MIC) dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Zohari Abang Openg (PBB) yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Turut hadir Presiden  Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Sim Kui Hian; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan PN dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia. – MalaysiaGazette