Kuliah agama, solat dhuha, kelas mengaji dan fardhu ain kini dibenarkan di masjid serta surau dengan syarat penjarakan sosial dipatuhi.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kuliah agama, solat dhuha, kelas mengaji dan fardhu ain kini dibenarkan di masjid serta surau dengan syarat penjarakan sosial dipatuhi.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti-aktiviti tersebut dibenarkan bermula minggu ini.

Selain itu, masjid dan surau juga diberi kebenaran untuk mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat bermula 3 Julai ini.

“Kebenaran ini tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan serta mengikut saiz dan kapasiti masjid dan surau,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menjelaskan, kebenaran pusat perubatan tradisional untuk beroperasi semula turut melibatkan perkhidmatan bekam dan urutan selepas bersalin.

Sebelum ini, terdapat beberapa tukang bekam yang mengadu masih tidak dibenarkan beroperasi meskipun spa dan pusat refleksologi telah mendapat kebenaran kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Perkhidmatan bekam dan urutan selepas bersalin juga termasuk dalam kebenaran tersebut. Bukan setakat spa dan urutan sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, mesyuarat khas menteri-menteri telah bermesyuarat mengenai SOP dan pembukaan semula institusi-institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun, pengumuman berhubung tarikh sebenar dan SOP terperinci mengenainya akan diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sendiri.- MalaysiaGazette