Mohd Nizar Najib

CHINI – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berpuas hati dengan operasi jentera Barisan Nasional (BN) dalam menggerakkan kempen bagi memenangkan calonnya, Mohd Sharim Md Zain.

Mohd Nizar berkata, rata-rata pengundi Chini yang ditemui jentera BN boleh menerima sepenuhnya Mohd Sharim sebagai calon BN.

“Saya lihat calon telah memainkan peranan dan telah berusaha sedaya upaya untuk berjumpa dengan seramai pengundi dalam tempoh berkempen dua minggu ini jadi pada pendapat saya Mohd Sharim ini makin dikenali makin diterima orang ramai di ketiga-tiga tiga kelompok dalam DUN Chini iaitu kawasan Felda, kampung tradisi dan juga di kalangan masyarakat Orang Asli.

“Saya lihat Sharim sebagai seorang yang boleh bekerja, bertenaga dan mempunyai pengalaman menganjurkan program-program besar, dia juga telah belajar dan duduk di bawah pentadbiran arwah Datuk Seri Abu Bakar Harun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Anak kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak itu tidak nampak masalah untuk Mohd Sharim mara sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini.

“Jentera pemuda berikrar untuk memberi sokongan 110 peratus di belakang calon Barisan Nasional dan saya ingin lihat beliau berjaya dan kita mendoakan agar dia menjadi seorang YB yang baik, dihormati dan disegani ramai,” katanya.

 

Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib bercakap semasa ditemubual Malaysia Gazette di Tasik Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2020

Dalam pada itu, Mohd Nizar menasihatkan agar semua jentera dan ahli BN untuk tidak selesa dengan PRK kali ini.

Katanya, jentera perlu bekerja lebih kuat lagi bagi menawan hati pengundi terutamanya pengundi muda.

“Kami tidak boleh rasa selesa sebenarnya walaupun lawan kita dalam kalangan bebas tapi jentera kita mahukan majoriti yang memberangsangkan yang meyakikan, jadi kami akan berusaha sedaya upaya sehingga wisel penamat.

Sebelum PRK DUN Chini diadakan, nama Mohd Nizar menjadi topik hangat untuk diketengahkan sebagai calon BN.

Namun bagiamanapun, beliau berkata, dirinya yang masih hijau dalam arena politik masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sepak terajang politik sebelum betul-betul terlibat secara langsung.

“Berikan saya sedikit masa untuk belajar selok belok politik dan menyantuni pengundi dan sebagainya.

“Belajar menyelesaikan masalah dan insya Allah jika ada rezeki di masa hadapan dan mungkin saya boleh berkhidmat,” katanya lagi.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR, Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas, iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.