Tindakan penguat kuasa menyamar sebagai pembeli berjaya membanteras operasi penjualan pelitup muka tiruan di Puchong semalam.

KUALA LUMPUR – Tindakan penguat kuasa menyamar sebagai pembeli berjaya membanteras operasi penjualan pelitup muka tiruan di Puchong semalam.

Penyamaran empat anggota Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu mendapati suspek menjualnya secara dalam talian.

Pengarahnya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi itu dijalankan hasil daripada maklumat yang diterima daripada pengadu pemilik cap dagang berdaftar Cross Protection berkaitan penjualan pelitup muka tiruan melalui transaksi dalam talian di Facebook (FB).

“Hasil daripada risikan yang dijalankan mendapati suspek disyaki membeli pelitup muka tanpa jenama daripada China dan membuat pembungkusan semula menggunakan kotak jenama Cross Protection.

“Suspek menggunakan laman sosial FB untuk mengiklankan penjualan pelitup muka. Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD) di sekitar kawasan Lembah Klang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil serbuan ke atas premis tersebut menemukan sejumlah 35
kotak jenama Cross Protection yang mengandungi pelitup muka disyaki tiruan.

Kesemua barangan tersebut telah dirampas dan suspek telah ditangkap untuk membantu siasatan.

Permohonan reman ke atas suspek berkenaan telah dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan mahkamah telah membenarkan permohonan reman selama empat hari bermula 30 Jun lalu.

Nilai rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM 1,575.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iait mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.- MalaysiaGazette