Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (kiri) melihat kain songket ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Pusat Tenun Diraja FELDA, Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JULAI 2020

CHINI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain mengucapkan terima kasih keatas keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sokongan yang diberikan.

Mohd Sharim berkata, pihaknya akan berusaha lebih keras lagi bagi menarik lebih ramai pengundi dalam baki dua hari kempen PRK.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila memberikan sokongan kepada saya selaku calon BN.

“Ia juga pasti atas kerjasama dalam Perikatan Nasional untuk bersama dan memastikan calon wakil rakyat di Chini untuk bersama membantu,” katanya selepas melakukan ziarah ke atas beberapa usahawan muda di sekitar Chini hari ini.

Mohd Sharim turut diberikan peluang untuk melakukan lawatan ke Pusat Tenun Diraja Pahang bagi melihat sendiri perkembangan pusat tenun berkenaan.

Jelas Mohd Sharim, sekiranya DUN Chini kekal kepada BN maka ia akan memudahkan apa juga bentuk bantuan mahupun peruntukan kerana berada dalam kerajaan yang sama, iaitu Perikatan Nasional.

“Apabila diberikan mandat pastinya memudahkan saya apabila kerajaan Pusat sendiri yang akan juga beri perhatian di DUN Chini,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kempen pilihan raya yang berbaki dua hari lagi, Mohd Sharim berkata, pihaknya kini giat menarik pengundi luar untuk turun mengundi pada 4 Julai depan.

Jelasnya dua pertemuan telah dan akan diadakan hari ini bagi memastikan pengundi luar pulang ke Chini untuk membuang undi.

“Aktiviti menarik pengundi luar telah digerakkan malah ada perjumpaan diadakan di Kuantan di mana Jawantankuasa Pengundi Luar dan mendapat sambutan yang baik dalam perjumpaan semalam.

“Malam ini satu lagi perjumpaan untuk pengundi luar di Lembah Klang diadakan di Putrajaya,” jawab Sharim.

PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, mempunyai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. – MalaysiaGazette