KUALA LUMPUR – MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan prestasi perdagangan Malaysia akan meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua 2020, sejajar dengan peningkatan sentimen di kebanyakan ekonomi Asia .

Ini adalah susulan daripada pemulihan secara berfasa selepas berakhirnya pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, kemunculan semula ketegangan perdagangan US-China, perang China-India dan kebimbangan berlakunya gelombang kedua COVID-19 boleh memberikan risiko negatif kepada unjuran berkenaan, katanya.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia melonjak kepada 51.0 pada Jun 2020 berbanding 45.6 bulan sebelumnya, paras tertinggi dicatatkan sejak September 2018.

MIDF Amanah berkata sektor pembuatan adalah antara sektor paling terjejas semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (MCO) berikutan permintaan domestik dan global yang lemah.

“Memandangkan 80 peratus daripada eksport kita ialah barangan pembuatan dan dengan MCO ditamatkan secara berperingkat serta membolehkan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi, kami meramalkan peningkatan prestasi bulan Jun sebagai permulaan kepada fasa pemulihan pasca-pandemik,” kata MIDF Amanah dalam notanya hari ini. – MalaysiaGazette