Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim (dua kanan) diiringi Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Latiff (tiga kanan) beramah mesra bersama penduduk pada program ziarah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Felda Chini 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020.

CHINI – Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) berpuas hati dengan kempen yang telah dijalankan calon mereka, Mohd Sharim Md Zain sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Abdul Latiff Rahman berkata, Mohd Sharim bersama-sama jentera BN telah menjalankan tugas yang cukup baik sepanjang 13 hari berkempen.

Jelas beliau, ia dirancakkan lagi dengan kehadiran pemimpin tertinggi BN antaranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Saya dapati kita telah menjalankan tugas cukup sempurna sekali dibantu seluruh jentera daripada presiden Ahli Majlis Tertinggi dan juga menteri dibawah Perikatan Nasional turun padang.

“Kita tinggal sehari sahaja lagi untuk menghabiskan larian kempen kita, tinggal satu hari sahaja lagi untuk tamat.

“Kami hanya memerlukan touch up sahaja lagi. Selama 13 hari kami sudah melaksanakan tugas dengan mantap sekali,” katanya ketika siri kempen di Chini 1 hari ini.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, tidak mustahil untuk BN memperoleh undi majoriti yang tinggi memandangkan rekod yang dipamerkan penyandang sebelum ini, allayarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

“Kami percaya kita boleh memperoleh majoriti yang besar dan kesinambungan daripada kepimpinan, saya rasa calon kita boleh menjalankan tugas apabila saat meliputi seluruh kampung tradisional dan kawasan Orang Asli mereka mengenali dan percaya Mohd Sharim adalah calon terbaik.

“Saya nasihatkan kepada calon agar melaksanakan tugas dengan baik dan bila mandat telah diberikan kepada beliau, dia mestilah melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan pula berkata, PRK di Chini akan menggambarkan situasi sebenar PRU-15 kelak.

Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim bercakap kepada media pada program ziarah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Felda Chini 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020.

Beliau dalam pada itu optimis BN akan memperoleh majoriti yang tinggi dengan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional.

“Semasa lima PRK dahulu, Muafakat Nasional telah berjaya merentasi garisan kemenangan yang cukup luar biasa contohnya di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands, Kimanis, dan Tanjung Piai kita menang bergaya.

“Kalau ikut atas kertas undi kita akan meningkat lebih daripada PRU-14 lalu. Dulu BN majoriti lebih 4,000 sekarang kalau campur dengan Pas akan dapat majoriti sehingga 10,000,” katanya lagi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain 41, dan dua calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa. – MalaysiaGazette