Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Penjara tidak melebihi dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Itu hukuman bagi individu yang gagal membuat ujian saringan Covid-19 kali kedua selepas pulang dari luar negara.

Memberi amaran, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan individu yang degil dan enggan memberikan kerjasama kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“PDRM menasihatkan kepada mereka yang terlibat untuk tampil segera dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM untuk menjalani ujian saringan kali kedua tersebut.

“Kegagalan mereka berbuat demikian merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 22(b) Akta 342 dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (Pindaan) 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataannya itu susulan daripada data terkini daripada KKM yang direkodkan hari ini,  620 orang yang pulang dari luar negara (Person Unfer Surveillance) masih gagal menjalani ujian saringan kali kedua untuk hari ke-13.

Justeru KKM  menyeru ahli keluarga menasihati dan memastikan individu atau pengembara yang perlu menjalani kuarantin di rumah supaya akur kepada syarat dan perintah bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Langgar perintah kuarantin rumah, tak buat saringan boleh kena tindakan