Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Individu yang melanggar perintah kuarantin di rumah dan gagal melakukan ujian saringan kedua Covid-19 boleh didenda atau dipenjarakan.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru ahli keluarga menasihati dan memastikan individu atau pengembara yang perlu menjalani kuarantin di rumah supaya akur kepada syarat dan perintah.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjalankan aktiviti pengesanan individu yang perlu menjalani saringan hari ke-13.

“Mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya.

“Oleh itu, pengembara yang pulang ke Malaysia diseru agar terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dan patuh kepada syarat-syarat di bawah HSO (kuarantin di rumah),” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan sehingga kini sebanyak 620 orang di bawah perintah itu masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua.

Manakala 5,184 orang telah diberi pelepasan atau Home Release Order selepas saringan kedua didapati negatif wabak tersebut.-MalaysiaGazette