PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mendakwa kerugian hampir RM2.8 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis serta pegawai Pos Laju.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 50 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu Rabu lepas.

Katanya, sekitar April lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai pegawai Pos Laju.

“Pegawai berkenaan memaklumkan satu bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad kredit Maybank serta 10 salinan kad pengenalan milik mangsa telah ditemukan.

“Kemudian, panggilan telefon itu disambung kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Yap dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak yang memberitahu mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa bertindak memindahkan wang dalam akaun simpanannya selepas diarahkan oleh suspek yang mengugut untuk menangkap mangsa kerana terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Usaha memburu suspek kini sedang dijalankan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan mendedahkan maklumat peribadi dan akaun bank kepada mana-mana orang tidak dikenali,” katanya dan menambah kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama