Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kempen PRK DUN Chini.

CHINI – “Sarapan pagi apa masalahnya, makanan pun sedap,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditanya tentang pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika turun berkempen di Kampung Kuala Mentiga di sini, hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menikmati sarapan sambil berbincang.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, Najib telah memaklumkan beberapa perkembangan di Chini dan kesemuanya nampak cukup baik serta selesa untuk calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain dengan dokongan Menteri Besar Pahang.

“Saya kira saya di sini mewakili rakan-rakan di peringkat persekutuan untuk memberikan sokongan moral kepada calon Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita yang membuat liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

Ini kali pertama Najib yang juga bekas perdana menteri dan Azmin yang menjawat jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri duduk semeja selepas kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, pertemuan beliau dengan Najib adalah atas semangat kerajaan Perikatan Nasional semata-mata.

“Barisan Nasional adalah anggota Perikatan Nasional dan sudah tentulah semangat Perikatan Nasional harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan termasuk membantu calon Barisan Nasional dalam PRK Chini.

“Inilah semangat yang kita laksanakan dan kita suburkan dalam perikatan Nasional di mana kita meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi ataupun kelompok.

“Saya lihat setelah empat bulan Perikatan Nasional dibentuk sambutan di kalangan rakyat Malaysia cukup positif.

“Jadi saya kira keputusan PRK Chini ini amat penting untuk membuktikan bahawa Perikatan Nasional dibentuk untuk membawa kemakmuran kepada rakyat Malaysia keseluruhannya dan kita bermula di sini pada hari Sabtu ini,” katanya lagi.

Selepas bertemu Najib, Azmin turut meluangkan masa bersama-sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Rosdy melakukan ziarah di sekitar Kampung Kuala Mentiga, hari ini.

Ditanya mengenai kempen hari-hari terakhir kempen PRK DUN Chini, Wan Rosdy berkata kempen setakat ini berjalan lancar.

“Kempen berjalan macam biasa hari mula dari hari pertama sampai hari ke akhir sama sahaja konsisten dan berjalan dengan lancar.

“Kita harap semua pengundi keluar mengundi mengundi luar balik kecil untuk mengundi sampai pukul 12 tengah malam ini,” katanya.

PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, mempunyai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast