Noh Omar

SHAH ALAM – Badan Perhubungan UMNO Selangor mempersoalkan tindakan Majlis Tindakan Persekutuan (MTPNg) negeri tidak menjemput wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) menghadiri mesyuarat.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau dimaklumkan hanya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijemput ke mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Isnin lalu.

Beliau menyifatkan tindakan MTPNg itu sebagai luar biasa dan pelik apabila menyisihkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen PN Selangor.

“Saya mempunyai pengalaman selama dua penggal sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor sebelum ini, (dahulu dikenali sebagai MTPPNg) dan ICU JPM sebagai agensi pelaksana.

“MTPPNg ini ditubuhkan kerajaan Persekutuan sebagai agensi pelaksana pembangunan di negeri pembangkang (PH dan Warisan), di mana ia menjadi platform bagi wakil rakyat dari parti kerajaan Persekutuan untuk terlibat dalam pembangunan negeri.

“Bagaimanapun, kali ini amat luar biasa dan pelik apabila wakil-wakil rakyat dari PN Selangor tidak dijemput menghadiri mesyuarat tersebut, sebaliknya Menteri Besar PH pula djemput hadir,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamed Azmin mempengerusikan mesyuarat MTPNg di Shah Alam Isnin lalu yang dihadiri Menteri Besar Selangor, manakala ADUN dan Ahli Parlimen PN tidak dijemput.

Beliau berkata demikian merujuk ciapan Mohamed Azmin Isnin lalu yang turut memuatnaik dua keping gambar dengan kapsyen mempengerusikan mesyuarat MTPNg Selangor di Shah Alam.

Kata Mohamed Azmin, mesyuarat itu merupakan platform penting untuk memperkukuhkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor dalam aspek pembangunan.

Menurut Noh yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Karang, beliau musykil dengan mesyuarat itu dan adakah Amirudin kini telah menyertai kerajaan PN?

“Atau, adakah Mohamed Azmin menganggap beliau masih Menteri Besar Selangor dari PH?

“Apa-apa pun, selepas ini libatkanlah wakil-wakil rakyat PN dari UMNO dan Pas dalam pembangunan negeri Selangor.

“Tentunya Muafakat Nasional (MN) boleh menyumbang untuk mengukuhkan PN di Selangor. Sebab jika Selangor menjadi milik PN adalah lebih baik untuk rakyat Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette