Seorang petugas SPR dilihat mewarnakan dakwat di jari pengundi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Sekolah Menengah Kebangsaan Chini 2, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2020

KUALA LUMPUR- Setakat jam 3 petang tadi seramai enam pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini didapati mempunyai gejala berkaitan Covid-19 dan telah diminta mengundi di khemah rawatan.

Manakala seorang lagi pengundi telah dirujuk ke Klinik Kesihatan berhampiran untuk rawatan lanjut.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, 98 pengundi telah dirujuk ke khemah rawatan.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan dan lain-lain agensi telah memulakan persiapan sejak awal lagi bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar dengan kepatuhan terhadap normal baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham seramai 140 orang anggota kesihatan bertugas di 13 pusat pengundian. – MalaysiaGazette