Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Gerakan koperasi dalam negara mampu merubah iklim ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi  Tuanku Jaafar berkata, kerjasama dan kesepaduan seluruh anggota koperasi penting demi mengubah pola ekonomi.

“Menyedari kepentingan bersama untuk bertindak segera memerangi perubahan iklim ekonomi yang masih suram, saya berharap (Hari Koperasi Antarabangsa) dengan tema ‘Co-operative For Climate Action’ dapat menyatukan seluruh masyarakat koperasi.

“Saya amat yakin gerakan koperasi di Malaysia mampu untuk membuat perubahan terjadap iklim ekonomi negara dengan keanggotaan seramai 6.09 juta dan mempunyai 14,625 buah koperasi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama seluruh gerakan koperasi diseru menyahut cabaran untuk membangunkan ekonomi selain tidak melupakan perlindungan terhadap persekitaran dengan meningkatkan penggunaan teknologi hijau.

Sehubungan itu MEDAC dan agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan menyelaraskan tindakan untuk mewujudkan kesedaran menerusi pendidikan dan inovasi teknologi terkini di kalangan anggotanya.

“Saya berharap koperasi di dalam negara menjadikannya satu wadah perjuangan untuk bersatu meningkat dan membangunkan sosio-ekonomi secara bersama dengan mengamalkan prinsip-prinsip dan amalan berkoperasi bagi mencapai kemakmuran bersama,”jelasnya. – MalaysiaGazette