Gelagat pengundi selepas selesai membuang undi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Sekolah Menengah Kebangsaan Chini 2, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2020

CHINI – Sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperolehi 70 peratus pengundi turun menunaikan tanggungjawab masing-masing boleh dicapai.

Mengikut peratus yang diperoleh setakat jam 1 pegang tadi, jumlah pengundi sudah mencecah 60 peratus.

“Peratusan keluar mengundi sehingga jam 1 petang tadi adalah pada 59 peratus,” kata SPR hari ini.

Bekas Pengerusinya, Datuk Seri Azhar Azizan Harun sebelum ini menyasarkan 70 peratus pengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, hari ini.

Cuaca hari ini di Chini amat baik bagi membolehkan ramai pengundi keluar sejak pagi tadi.

Seramai 20,816 pengundi mengundi hari ini bagi memilih salah satu daripada tiga calon iaitu Mohd Sharim Md Zain, 41, daripada BN dan dua calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), sebelum wakil rakyat baharu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Zaliza Zulkipli yang dijangka pada jam 10 malam ini. – MalaysiaGazette