Ismail Sabri Yaakob

CHINI – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, tidak menghalang orang ramai di kawasan ini turun mengundi.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia jelas tidak menjadi alasan buat pengundi di Chini untuk tidak mengundi hari ini.

“Saya kira ini merupakan bukan satu halangan yang mengakibatkan pengundi tidak turun mengundi.

“Lebih-lebih lagi pengundi luar yang menjangkakan akan berlaku kesesakan dan mereka tidak boleh mengundi.

“Selain daripada SOP yang ketat, saya risau ini menyebabkan mereka tidak balik mengundi dan tidak mahu keluar mengundi.

“Apa yang dilakukan SPR ini walaupun ketat tidak menghalang pengundi untuk keluar mengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menteri Pertahanan itu mengulas kenyataan SPR hari ini yang berkata peratusan keluar mengundi di Chini yang kini melebihi 70 peratus.

Peratusan itu diperoleh setakat jam 3 petang tadi.

Antara SOP yang dikenakan adalah semua pengundi diwajibkan untuk menjalani saringan suhu dan memakai penutup mulut dan hidung.

Mereka yang akan memasuki dewan pengundian juga diwajibkan memakai sarung tangan untuk tujuan pencegahan pendemik Covid-19.

Sebelum itu pegawai SPR akan mencalit dakwat kekal dengan menggunakan berus pakai buang malah mereka turut dituntut untuk mengamalkan penjarakan sosial satu meter.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, peratusan itu telah melebihi sasaran Barisan Nasional (BN) yang menjangkakan hanya 65 peratus pengundi keluar mengundi, hari ini.

“Walaupun kita jangka 65 peratus sahaja yang keluar mengundi tetapi sudah pun melebihi. Kalau 70 peratus saya kira salah satu PRK yang mempunyai jumlah yang tinggi daripada peratusan undi. Saya ucapkan tahniah kepada pengundi di Chini.

“Kita takut juga walaupun SOP ketat kerana saya pun tak dapat mendekati pusat pengundian kerana tidak dibenarkan sesiapa yang masuk.

“Sepatutnya saya dibenarkan masuk untuk semak SOP tapi saya tidak dibenarkan masuk,” katanya lagi.

PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan 2 calon Bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Proses pengundian dijadualkan tamat pada pukul 5.30 petang ini. – MalaysiaGazette