Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (kiri) beramah mesra bersama pengundi semasa hadir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Kafa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Felda Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2020

CHINI – Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 mula dikerumuni pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, hari ini.

Biarpun pusat penamaan ini belum dibuka, namun ramai pengundi di kawasan ini mula memasuki kawasan pusat pengundian ini.

Pengundi pertama, Rosilawati Abdul Latiff Ahmad, 46, menunjukkan jari berdakwat kekal selepas membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Kafa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Felda Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2020

Menurut Rosilawati Abdul Razak, 46 dari Chini 3, beliau sangat teruja untuk menjadi pengundi pertama.

Rosilawati yang akan mengundi di saluran 3 berkata, beliau datang awal kerana ada urusan di Pekan dan tidak mahu beratur panjang semasa mengundi.

“Saya datang awal pagi sebab ada kerja di Pekan.

“Semangat saya untuk mengundi, tapi kita kena ikut SOP yang telah diarahkan macam pakai penutup mulut dan hidung, ini sudah jadi kebiasaan baharu masa pendemik Covid-19.

“Kena duduk satu meter dengan pengundi lain, itu sudah biasa. Jadi kita kena ikut. Memang rasa teruja jadi pengundi awal, saya nak balik awal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan terakhir bagi hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Kafa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Felda Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2020

Pusat pengundian di PRK DUN Chini dibuka jam 8 pagi dan ditutup jam 5.30 petang nanti.

Pengundi, Rohaini Yin, 61, bercakap semasa hadir bagi membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Kafa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Felda Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2020

Menurut pengundi Rohaini Yin, 61, yang akan mengundi di saluran dua berkata, tanggungjawab sebagai petugas Jalinan Rakyat (JR) mengakibatkan beliau terpaksa mengundi awal hari ini.

Jelasnya, beliau juga teruja kerana ini kali pertama beliau datang awal di pusat mengundi.

“Datang awal sebab lepas ini saya nak bertugas pulak sebagai petugas Jalinan Rakyat.

“Kami petugas kena undi awal sebab nak bertugas.

“Rasa teruja nak jadi pengundi awal sebelum ini kita biasa lambat sikit. Tak tahu nak gambarkan perasaan jadi pengundi awal, hari ini,” katanya.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan terakhir bagi hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Kafa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Felda Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2020

Seawal jam 7 pagi, petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memasuki pusat pengundian untuk proses mengundi hari ini.

Malah proses sanitasi juga turut dilakukan hari ini terhadap kerusi roda, pensil mengundi serta tombol pintu masuk pusat pengundian.

Untuk rekod, semua pengundi akan diwajibkan untuk menjalani saringan suhu dan memakai penutup mulut dan hidung.

Mereka yang akan memasuki dewan pengundian juga diwajibkan memakai sarung tangan untuk tujuan pencegahan pendemik Covid-19.

Sebelum itu pegawai SPR akan mencalit dakwat kekal dengan menggunakan berus pakai buang.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Seramai 20,816 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka di 13 pusat mengundi menerusi 65 saluran.

Sebanyak 13 pusat mengundi yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Mambang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Kinchir, Dewan Mempelas Kampung Baru PPSK Salong, SK LKTP Chini Timur 1, SMK Chini Timur, Balai Raya Kampung Dusun, SK LKTP Chini Timur 2, SK LKTP Chini 3 dan 5, SK LKTP Chini 1 dan 4, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3, Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Nur Ilham Felda Chini 1 dan SMK Chini 2.

Seramai 838 petugas pilihan raya akan bertugas manakala lebih 700 anggota akan dikerahkan bagi memastikan kelancaran proses pengundian.

Difahamkan calon BN, Mohd Sharim Md Zain djadualkan akan mengundii di Sekolah Kafa Felda Chini 3 jam 9 pagi nanti.

Untuk PRK Chini, hanya Mohd Sharim yang akan mengundi manakala dua lagi calon tidak akan mengundi kerana bukan penduduk tempatan. – MalaysiaGazette