Lensa MG

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya meminta bank-bank melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

Keistimewaan itu katanya, patut diberikan terutamanya kepada kumpulan sasar iaitu peminjam yang masih tidak mampu membayar hutang mereka termasuklah 800,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan sehingga April tahun ini serta ribuan lagi yang terpaksa mengalami pemotongan gaji atau dipaksa mengambil cuti tanpa gaji, kata Setiausaha Agungnya, J.Solomon.

“Untuk bank yang mahu bersikap “perniagaan seperti biasa” dan mengharapkan orang ramai yang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan mereka dipotong untuk terus membayar hutang adalah satu tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, Kementerian Kewangan dan BNM tidak patut mengabaikan tanggung jawab mereka kepada kumpulan B40 dan M40 serta peminjam yang kehilangan pekerjaan tanpa mengira berapa besar gaji mereka sebelum ini.

Pelanjutan tempoh moratorium itu ujarnya, harus dipanjangkan kepada syarikat-syarikat yang turut bergelut dari segi kewangan semasa pandemik ini.

“Statistik rasmi jelas menunjukkan kebanyakan pekerja dibuang kerja disebabkan oleh kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pembukaan semula ekonomi malangnya adalah satu proses yang perlahan menyebabkan orang ramai sukar untuk membayar hutang mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette