Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan mengendalikan isu pusat hiburan malam secara fleksibel dan tidak memaksa semua premis untuk tutup kedai pada pukul 1 pagi.
Larangan beroperasi menyebabkan 70 peratus pusat hiburan bakal gulung tikar.

KUALA LUMPUR – Walaupun pub atau kelab malam masih dalam larangan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tetapi masih ada pemilik yang degil dan membuka untuk kunjungan orang ramai.

Dalam operasi pematuhan di seluruh negara semalam, polis menahan seramai 96 individu dalam serbuan di pub atau kelab malam.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka adalah dari 165 individu yang ditahan kerana kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Dari jumlah itu 14 individu telah direman, manakala 151 individu lagi dikenakan kompaun,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam tempoh semalam juga, sebanyak 5,498 restoran dan 3,786 pasar raya termasuk 3,569 bank dan institusi kewangan telah dipantau dan diperiksa.

Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan juga turut memeriksa dan memantau sebanyak 1,204 terminal pengangkutan darat, 259 terminal pengangkutan air dan 88 terminal pengangkutan udara.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, operasi yang melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu mengawal ketat sempadan negara.

Ismail Sabri Yaakob

“Kawalan ketat ini dilakukan secara bersepadu sepanjang sempadan dari dibolosi Pendatang asing tanpa izin (Pati) dan menyekat penularan wabak Covid-19.

“Selain itu, polis juga membuat 70 sekatan jalan raya dan turut memeriksa sebanyak 47,782 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati secara haram ke negara ini,” katanya.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutama lorong tikus.

Berhubung kuarantin wajib, beliau menjelaskan, dari 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 11,049 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

Dari jumlah itu, kata Ismail Sabri, seramai 11,001 individu negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Manakala 48 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Semalam juga, seramai 771 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Singapura, Indonesia, UAE, Taiwan, Thailand, Qatar, Australia dan Korea Selatan.

“Dari jumlah itu, 770 individu telah diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka dan seorang individu didapati positif Covid-19 dan dibawa ke hospital,” katanya. – MalaysiaGazette