Haniza Mohamed Talha
Haniza Mohamed Talha. foto AFIQ RAZALI, 28 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha memberi bayangan memang dirinya menjadi pemenang cabutan istimewa bernilai RM1 juta Cabutan Istimewa Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi bulan Jun 2020.

Namun Bekas Ketua Wanita Keadilan Pusat itu yang baru sahaja dipecat dari parti tiga hari lalu enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Tunggu pengumuman rasmi BSN esok,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ditanya jumlah pelaburan atau simpanan SSP dan tempoh simpanannya, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan sekadar membalas akan menjawab mengenainya esok.

Berita keputusan kemenangan SSP bernilai RM1 juta itu telah diketahuinya selepas dimaklumkan oleh BSN.

Beliau juga mengesahkan kepada MalaysiaGazette akan hadir untuk menerima wang cabutan itu dan majlis penyerahan wang RM1juta SSP BSN yang dimenanginya akan berlangsung pada pukul 12.30 tengahari esok di Wisma Ehsan BSN Cawangan Negeri Selangor di Shah Alam.

Cabutan bagi bulan Jun 2020 telah dikendalikan secara langsung dalam FB BSN semalam.

Dalam keputusan cabutan istimewa BSN SSP itu, Haniza diumumkan sebagai pemenang RM1 juta dengan nombor sijil simpanan 018-88843761.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Haniza Talha pemenang cabutan istimewa RM1 juta?