Harga ayam kembali stabil ekoran pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, di seluruh negara yang bermula hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA BERANG – Pembekal dan penternak ayam memberi jaminan harga ayam akan kembali stabil menjelang Ogos depan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata beberapa perbincangan telah diadakan bersama penternak dan pembekal di seluruh negara berkaitan bekalan dan harga ayam yang dilaporkan meningkat mendadak kebelakangan ini.

Katanya pembekal dan penternak memaklumkan kenaikan harga itu disebabkan pihak mereka kurang mengambil bekalan anak ayam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas bagi mengelak kerugian, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan ayam.

“Bagaimanapun mereka (penternak dan pembekal) telah memberi jaminan bekalan akan kembali pulih menjelang Ogos nanti dan harga ayam juga akan kembali stabil,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perusahaan arang tradisional di Kampung Kuala Menjing, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga yakin harga dan bekalan ayam menjelang sambutan Aidiladha pada hujung bulan ini tidak naik dan akan kekal pada harga sekarang.

Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut mengadakan program ziarah kasih pesakit di sekitar kampung berkenaan.- BERNAMA