Kenderaan yang musnah akibat kebakaran di tempat letak kereta di PPR Gombak Setia.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 53 motosikal dan lapan kereta musnah dalam kebakaran di kawasan parkir Blok 41, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Perumahan Bandaraya Gombak Setia, awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II Kup Zaid Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 5.05 pagi.

Katanya, susulan itu pihaknya menggerakkan empat jentera bersama 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, Gombak Selatan dan Setapak ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba ke lokasi pada pukul 5.15 pagi dan mendapati api ketika itu sedang marak.

“Kebakaran membabitkan 53 motosikal dan lapan kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di kawasan perumahan terbabit.

“Pasukan bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak sebelum berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada jam 5.47 pagi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kebakaran menyebabkan 53 motosikal itu musnah seratus peratus manakala lapan kereta terbakar antara 60 hingga 80 peratus

Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette