Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir bergambar bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (kiri) pada Majlis Penyerahan Kapal KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Destination Marine Services Sdh Bhd, Pelabuhan Klang. foto AFIQ RAZALI, 06 JULAI 2020.

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menerima dua kapal peronda generasi baharu (NGPC) iaitu Kapal Maritim Kota Kinabalu (KM Kota Kinabalu) dan Kapal Maritim Tok Bali (KM Tok Bali).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, aset baharu itu diyakini mampu memperkasakan lagi penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam membanteras kesalahan-kesalahan di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM), terutama isu pencerobohan bot nelayan asing.

“Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) sangat serius dalam menangani semua perlakuan jenayah di dalam ZMM.

“Pelbagai usaha serta inisiatif sedang dilakukan untuk mengupayakan Maritim Malaysia dari pelbagai aspek termasuklah aset laut dan udara, infrastruktur dan keanggotaan.

“Ia bertepatan masanya berikutan Maritim Malaysia di dalam National Task Force (NTF) dan melaksanakan Op Benteng bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya pada sidang media di Limbongan Destination Marine Services Sdn. Bhd. hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Kedua-dua kapal itu merupakan lima dari enam kapal NGPC yang telah diterima oleh Maritim Malaysia manakala kapal keenam masih dalam proses pembinaan.

Perolehan bagi kesemua enam NGPC berkenaan berharga hampir RM400 juta di mana ia dibina sepenuhnya di dalam negara oleh syarikat tempatan, Destination Marine Services Sdn Bhd.

KM Kota Kinabalu akan ditempatkan di Kuching, Sarawak akan KM Tok Bali akan ditempatkan di Tok Bali, Kelantan.

Penempatan kedua-dua kapal itu lebih tertumpu kepada membanteras pencerobohan bot nelayan satu di perairan negara, khas di Laut China Selatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (kiri) melawat pengemudian kapal KM Kota Kinabalu pada Majlis Penyerahan Kapal KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Destination Marine Services Sdh Bhd, Pelabuhan Klang. foto AFIQ RAZALI, 06 JULAI 2020.

Dalam pada itu, kapal NGPC dengan ukuran 45 meter panjang dengan kelebaran 7.7 meter serta mampu berlayar dengan kelajuan 24 knot.

“NGPC ini dapat digunakan selama 10 hari di laut tanpa ulang bekal untuk tugas penguatkuasaan serta tugas cari dan menyelamat.

“NGPC ini juga dilengkapi dengan Meriam 30mm Aselsan, Rigid Inflatable Boat (RIB) sepanjang 7 Meter, Kamera Pengintai Jarak Jauh (siang dan malam) dan Kenderaan Udara Tanpa pemandu (UAV) atau dron yang berupaya melakukan pemantauan udara dengan jarak jauh jauh.

“NGPC juga memiliki kelengkapan dalam mengendalikan tumpahan minyak secara komprehensif,” katanya.

Maritim Malaysia juga bakal menerima tiga Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) yang berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

“OPV pertama kali diperlukan pada akhir tahun ini, selebihnya diharapkan siap pada tahun hadapan. OPV berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter. Ianya mampu melakukan pengawasan jarak jauh ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil.

“OPV ini dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan kraf pemintas pantas, bilik rawatan serta bilik tahanan.

“OPV ini juga didatangkan bersama radar X dan S band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas serta boleh menggunakan 70 orang anak kapal dengan 20 penumpang dalam satu masa untuk operasi operasi di laut.

Katanya lagi, KDN juga dalam proses memajukan permohonan untuk perolehan Multi Purpose Mission Ship (MPMS) atau kapal induk yang serta dilengkapi dengan peralatan canggih berteknologi tinggi berkemampuan memerlukan enam unit kraf penangkap pantas dan UAV.

“Dengan adanya aset seperti ini, saya yakin dalam masa terdekat Maritim Malaysia akan setanding dengan agensi Coast Guard antarabangsa.

“Pencerobohan bot nelayan asing merupakan satu ancaman yang kritikal kepada industri perikanan negara. Ianya bukan sahaja merompak hasil laut negara bahkan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan dan merosakkan ekosistem biodiversiti marin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette