Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir makan malam selepas pengumuman Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Command Centre BN, Paloh Hinai, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini membuktikan gabungan Perikatan Nasional yang dianggotai Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Pas dan persahabatan baru bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat meningkatkan kepercayaan dan harapan dalam kalangan pengundi luar bandar.

Malah, Institut Kajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi (Institut SEDAR) berpendapat keberkesanan jentera pilihan raya BN yang dibantu oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan rakyat masih menyokong peranan beliau dan mengambil pendekatan untuk mengundi parti yang diwakilinya.

Najib merupakan Ahli Parlimen Pekan, iaitu kawasan Parlimen bagi DUN Chini.

Menurutnya, ketiadaan pasukan pembangkang bukannya sebab utama kemenangan Barisan Nasional di Chini.

”Untuk makluman, bekas Pengerusi Pakatan Harapan Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan sokongan kepada salah seorang calon bebas.

”Faktor undi besar yang diterima oleh BN ini didorong oleh pendekatan langsung Najib Razak serta jentera UMNO, keberkesanan jentera MN, strategi pemimpin parti yang pro golongan marhaen adalah antara sebab utama yang memberi ruang kepada penduduk Chini memilih BN,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain daripada faktor itu, pemilihan Mohd Sharim Md Zain, generasi kedua Felda Chini 3 juga adalah pilihan yang tepat, sekaligus menangkis sebarang tuduhan nepotisme serta berlaku adil kepada sistem demokrasi dalam parti.

Ia juga membuktikan Najib yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Pekan tidak mempengaruhi keputusan pimpinan UMNO dalam pencalonan tersebut.

Strategi yang digunakan dalam meraih sokongan pengundi melalui pendekatan Muafakat Nasional nampaknya diterima baik oleh masyarakat Chini.

Walau bagaimanapun, katanya, MN dan Bersatu tidak boleh terlalu yakin dengan formula kerjasama tersebut kerana demografi sesebuah kawasan pilihan raya menjadi faktor yang perlu diteliti dalam menentukan strategi dan pendekatan parti politik yang ingin bertanding di kawasan tersebut.

PRK Chini menyaksikan calon BN, Mohd Sharim menang dengan majoriti 12,650 undi selepas memperoleh 13,872 undi, mengalahkan dua calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dengan memperoleh 137 undi sahaja. – MalaysiaGazette