Seorang gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal duduk dilihat berada di kawasan sebuah bangunan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Malaysia didakwa terkebelakang dalam komitmennya untuk menyemak semula kadar kemiskinan nasional.

Bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Philip Alston berkata, kadar kemiskinan nasional 0.4% iaitu terendah di dunia adalah “sangat rendah dan tidak realistik”.

Menurut Alson, kerajaan sebelum ini telah menyatakan berkomitmen untuk menyemak semula garis kemiskinan nasional, tetapi maklum balas kerajaan baharu menimbulkan keraguan apabila menyatakan ia “mengekalkan dengan (kadar) kemiskinan mutlak”.

Kadar kemiskinan negara sebanyak RM980 bagi setiap isi rumah sebulan menyaksikan keluarga dengan empat orang di bandar hidup dengan RM8 orang setiap hari.

“Tindakan kerajaan menimbulkan kebimbangan kerana garis kemiskinan semasa adalah tidak tepat dan secara universal dianggap mengelirukan,” kata Alston yang pernah melawat Malaysia pada Ogos tahun lalu.

Alston berkesempatan melawat Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan.

Alston akui Malaysia telah melakukan progres yang mengagumkan dalam menangani kemiskinan sepanjang 40 tahun lalu.

Namun, katanya, negara ini masih terus menggunakan garis kemiskinan yang sudah ketinggalan zaman dan tidak realistik dalam berdepan dengan realiti bahawa berjuta-juta orang masih meraih pendapatan yang sangat rendah dan keadaan diburukkan dengan Covid-19.

Sekiranya kerajaan ingin membasmi kemiskinan, langkah pertama yang perlu dibuat adalah menyemak semula garis kemiskinan.

Kemajuan itu memerlukan pemahaman yang lebih baik mengenai sifat kemiskinan terutama di kawasan bandar, peningkatan polisi sosial dan pendekatan baharu terhadap populasi yang telah lama diabaikan.

“Jutaan bukan warga negara juga dipengaruhi oleh kemiskinan secara tidak seimbang termasuk pendatang, pelarian, orang tanpa kewarganegaraan dan rakyat Malaysia yang tidak berdaftar, yang secara sistematik dikeluarkan daripada angka kemiskinan rasmi, diabaikan oleh pembuat dasar dan sering dilarang daripada perkhidmatan-perkhidmatan asas,” ujarnya. – MalaysiaGazette