Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang mempermudahkan lagi proses permohonan sijil halal bagi industri makanan dengan mengambil kira operasi selepas wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri bagaimanapun berkata, proses mempermudahkan itu tetap perlu memenuhi syarat dan piawaian secara keseluruhannya.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan pensijilan halal memiliki standard dalam bentuk sistem yang sama supaya tidak bercanggah daripada hakikat sebenar.

“Oleh itu, kami akan melihat bukan sahaja daripada sudut pemprosesan sijil halal, tetapi secara keseluruhan sama ada memendekkan tempoh (pemprosesan) atau borangnya.

“Penelitian terhadap perkara ini sudah bermula, namun disebabkan kekangan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ada beberapa perkara tergendala, jadi kita perlukan masa.

“Ia akan dilakukan secara berperingkat dan kami sudah berjumpa dengan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) membincangkan perkara ini dan segala keputusan akan kami dimaklumkan kemudian,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Virtual Halal School (VHS) anjuran Pusat Kecemerlangan Halal Kolej Uniti (UHAC), Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas VHS, Amir Hamzah Md. Isa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menurunkan tandatangan sebagai pelancaran sambil diiringi Pegasas Virtual Halal School, Amir Hamzah Md Isa (kanan) pada Majlis Pelancaran Virtual Halal School di Menara Arina-UNITI, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2020

Zulkifli menambah, kementerian akan akan cuba untuk memudahkan pemprosesan sijil halal bukan menyukarkannya lagi sekali gus memacu potensi sumbangan industri berkenaan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Cuma kita kena menyempurnakan atau melengkapkan syaratnya. Sebab kita faham dalam situasi Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sudah tentu akan menyukarkan.

“Itu (memudahkan proses) satu perkara yang saya ambil prihatin bersungguh-sungguh, tetapi wajib mengikut piawaian dan syarat yang kita boleh tengok dari semasa ke semasa,” katanya.

Zulkifli turut menasihati umat Islam untuk mendapatkan pengesahan logo halal dengan merujuk sumber sahih dari pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan negeri. – MalaysiaGazette