Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Redframe Management & Resources yang didapati bersalah menjual hasil tembakau secara dalam talian telah didenda sebanyak RM2,500 atau 1 tahun penjara.

Syarikat ini didakwa susulan pemantauan berterusan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan berhubung penjualan hasil tembakau secara dalam talian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan pemantauan tersebut, satu siasatan serta penguatkuasaan telah dijalankan oleh Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam.

Hasil daripada aktiviti ini, KKM mendapati syarikat Redframe Management & Resources telah menjual hasil tembakau dengan pelbagai jenama secara dalam talian dengan harga serendah RM20 kepada pelanggan.

Kes ini telah didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 1 Julai 2020 kerana kesalahan penjualan rokok secara dalam talian sebagaimana Peraturan 10A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Penjualan secara dalam talian oleh tertuduh bukan sahaja menyalahi peraturan yang ditetapkan, malahan menyebabkan hasrat kerajaan untuk menyekat kebolehdapatan hasil tembakau terutama kepada golongan remaja di bawah 18 tahun terhalang.

”Sabitan hukuman ini adalah sebagai satu bentuk teladan dan pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama. Tertuduh yang tidak diwakili peguambela telah mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak RM2,500.

”KKM amat komited di dalam membanteras penjualan hasil tembakau secara dalam talian dan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa tetap dijalankan. Pemantauan ini diperketatkan terutama ketika negara menghadapi wabak pandemik COVID-19 di mana penjualan secara dalam talian menjadi pilihan utama,” katanya.

Dr Noor Hisham berharap hukuman yang dikenakan ini akan memberikan pengajaran kepada semua pihak agar tidak menjalankan urusan penjualan hasil tembakau secara dalam talian sewenang-wenangnya.

Perbuatan menjual hasil tembakau secara dalam talian perlu dikawal agar orang ramai khususnya remaja tidak dapat membeli atau memiliki hasil tembakau dengan mudah dan memberi ruang untuk kebolehdapatan rokok yang menjadi punca gejala merokok masih berlaku dalam kalangan remaja. – MalaysiaGazette