Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kajian terbaharu yang dijalankan Randstad mendedahkan 87 peratus daripada responden di Malaysia bersedia untuk dilatih semula bagi memastikan mereka tidak dibuang atau boleh diambil semula bekerja.

Sentimen ini berada di paras tertinggi dalam kalangan pekerja Generasi- X dengan 92 peratus responden berusia 3 hingga -44 tahun mempunyai pendapat sedemikian.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass berkata, lebih banyak syarikat melabur dalam teknologi sebagai satu strategi pemulihan semula yang lebih cepat dan kukuh pasca-pandemik.

“Bagaimanapun, risiko jurang perbezaan di antara harapan majikan dengan kemampuan sebenar pekerja mungkin semakin melebar.

“Bagi kekal kompetitif, organisasi perlu memenuhi harapan tersebut dengan mempersiapkan pekerja dengan kemahiran yang mencukupi supaya mereka mampu menjalankan tugas dengan baik pada masa hadapan serta mengelakkan mereka daripada diberhentikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kebanyakan majikan suka menggaji pekerja muda kerana sifat semula jadi mereka yang suka meneroka dan bekerja dengan peralatan digital.

Selain itu, pekerja muda juga berpotensi untuk memacu perubahan teknologi.

Tiga daripada empat responden tempatan percaya pekerja muda lebih mempunyai daya tarikan disebabkan berkemahiran dalam teknologi.

“Walaupun bakat muda dilihat lebih menarik kerana berpengetahuan tinggi dalam bidang digital, majikan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada mereka untuk memacu agenda digital syarikat.

“Harapan yang sangat tinggi kepada bakat muda tidak menjanjikan kejayaan kepada mereka kerana mereka masih belum belajar mengenai cara bekerja dalam persekitaran korporat seperti urusan belanjawan dan pengurusan projek.

“Syarikat seharusnya mencipta persekitaran kolaboratif di antara pekerja yang terdiri daripada pelbagai generasi dan berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing untuk pertumbuhan bersama,” katanya lagi.

Kaji selidik Randstad Suku Pertama 2020 dijalankan dari 13 Mac hingga 30 Mac 2020 dengan saiz sampel minimum adalah 400 responden bagi setiap pasaran.- MalaysiaGazette