Universiti Harvard

NEW YORK – Para penuntut asing mesti meninggalkan Amerika Syarikat (AS) sekiranya kelas pengajian mereka pada musim luruh ini akan diajar sepenuhnya dalam talian, kata agensi Agensi Penguatkuasaan dan Kastam (ICE).

Setakat ini tidak berapa jelas berapa banyak pemegang visa pelajar akan terlibat dengan peraturan itu.

ICE memaklumkan ia tidak akan membenarkan pelajar yang memegang visa berada  di negara ini sekiranya sekolah mereka melaksanakan pengajian dalam talian sepenuhnya sepanjang musim gugur ini.

Pelajar tersebut mesti berpindah atau meninggalkan negara ini atau mereka berpotensi menghadapi proses pembuangan, menurut pengumuman itu.

Kolej dan universiti telah mula mengumumkan rancangan untuk semester musim gugur tahun ini di tengah-tengah berlakunya wabak koronavirus.

Universiti Harvard pada hari Isnin mengumumkan akan menjalankan pengajaran kursus secara dalam talian untuk tahun akademik 2020-2021.

Peraturan ICE itu terpakai kepada para pemegang visa F-1 dan M-1, untuk pelajar akademik dan vokasional.

Jabatan Negara mengeluarkan sebanyak 388,839 visa F dan 9,518 juta visa M pada tahun fiskal 2019, menurut data agensi itu.

Tetapi peraturan tersebut tidak membabitkan para penuntut yang mengikuti kelas secara bersemuka dan penuntut F-1 yang mengambil kursus separa dalam talian, selagi universiti mengesahkannya.

Pelajar program vokasional M-1 dan pelajar program latihan bahasa Inggeris F-1 tidak akan dibenarkan mengikuti kelas dalam talian.

Pentadbiran Presiden Donald Trump telah melaksanakan sekatan-sekatan baharu terhadap pendatang asing yang sah dan haram dalam beberapa bulan terakhir sebagai akibat wabak koronavirus.

Pada bulan Jun lalu, pentadbiran AS telah menangguhkan visa kerja untuk sejumlah besar pekerja bukan imigran yang dikatakan bersaing dengan warga AS untuk mendapatkan pekerjaan.

AS juga secara efektif menangguhkan kemasukan pencari suaka di sempadan selatan dengan Mexico, dengan alasan risiko kesihatan yang berkaitan dengan koronavirus. – MalaysiaGazette