Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bergambar bersama peniaga-peniaga kecil pada sidang mengenai isu 300 peniaga PKNS di SACC Mall dianiaya dan ditindas PREC anak syarikat PKNS kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 JULAI 2020

SHAH ALAM – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana (Ikhlas) mengancam untuk berhimpun beramai-ramai di hadapan bangunan Kerajaan Negeri Selangor sekiranya isu peniaga kecil di Kompleks PKNS dan SACC Mall masih tiada pembelaan.

Perkara itu disuarakan sendiri oleh presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah yang tidak teragak-agak menggerakkan kesemua 111 wakil NGO itu dari seluruh negara sehingga masalah sewa premis diselesaikan segera.

“Kita bagi masa sampai 15 Julai ini, kalau tiada tindakan Ikhlas akan desak Kerajaan Negeri Selangor dengan membawa semua NGO kita dari seluruh Malaysia untuk selesaikan masalah ini.

“Selama ini pihak kami masih berlembut, hantar surat pun pengurusan premis buat bodoh saja, buat tak reti saja.

“Ia melibatkan periuk nasi peniaga, SACC Mall di bawah kerajaan negeri. Mana dia kerajaan negeri yang laung-laungkan prihatin dan mahu jaga hak rakyat,” katanya pada sidang media di SACC Mall, hari ini.

Beliau mengulas rintihan peniaga-peniaga di Kompleks PKNS dan SACC Mall yang kehilangan sehingga 90 peratus pelanggan akibat pandemik Covid-19.

Lebih memeritkan lagi apabila kesemua peniaga yang menyewa premis di sini tidak diberikan pengecualian bayaran sewaan sehingga enam bulan sebagaimana yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Sudahlah jualan merudum akibat kurangnya pelanggan, sewa premis mereka pula dinaikkan antara 20 hingga 30 peratus oleh pihak pengurusan yang diswastakan Kerajaan Negeri Selangor, iaitu PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Selain berhimpun di hadapan pejabat Kerajaan Negeri Selangor, Ikhlas juga akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor pada 15 Julai ini.

Antara tuntutan Ikhlas ialah mendesak Kerajaan Negeri Selangor memberikan sehingga enam bulan pelepasan bayaran sewa premis dan potongan harga sewa sehingga 50 peratus untuk tempoh setahun.

“Ikhlas juga akan mendesak Menteri Besar agar menukar pengurusan lama Kompleks PKNS dan SACC Mall.

“Ini kerana pengurusan swasta ini gagal menguruskan dua aset milik kerajaan negeri yang mencatatkan kerugian berturut-turut di bawah pengurusan sejak 2013.

“Kalau kerajaan negeri tak tukar pengurusan PREC, Ikhlas akan bawa perkara ini kepada SPRM dan Jabatan Audit Selangor untuk semak balik audit PREC yang mencurigakan.

“Kalau asyik rugi buat apa kekalkan pengurusan PREC, sudah lapan tahun orang yang sama,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Selangor perlu mencontohi kepimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sangat prihatin kepada nasib penjaja dan peniaga kecil ketika pentadbirannya.

“Azmin Ali betul-betul prihatin kepada peniaga kecil.

“Kalau asyik rugi kena tak audit..kenapa tak keluarkan orang yang sama, sudah tentu orang politik letak kroni dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette