Sebahagian daripada tujuh PATI yang ditahan dalam Op Benteng di Ladang Kurnia, Batu Layar, Kota Tinggi, Johor, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infrantri Malaysia (7 Briged) awal pagi tadi.

Tangkapan tersebut membabitkan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai yang akan pulang ke Indonesia manakala empat wanita yang baru tiba ke negara ini.

Penahanan itu dijalankan ketika pasukan Rejimen Ke-61 Artileri Diraja yang diketuai oleh Kapten Mohd Norhisham Izwandy Jamain sedang menjalankan rondaan keselamatan di sekitar kawasan Ladang Kurnia, Batu Layar, Kota Tinggi, Johor, jam 4.30 pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia berkata, pihaknya turut merampas 11 buah telefon bimbit, barang kemas dan juga wang tunai sebanyak RM4,310 dan mata wang rupiah 4,206,840 (RM1,240) yang kesemuanya bernilai RM28,796.

”Pasukan masih meneruskan usaha pencarian dan penjejakkan di sekitar kawasan Ladang Kurnia, Batu Layar bagi mengesan saki baki yang lain terutama individu yang bertindak sebagai tekong,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia.

Tangkapan PATI dan rampasan akan dihantar ke Balai Polis Damai untuk tindakan lanjut sebelum pemeriksaan Covid-19 dibuat di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi, Johor. – MalaysiaGazette