Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini memutuskan untuk menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratusan kepada 1.75 peratus.

Ini bermakna kadar siling OPR diturunkan kepada 2 peratus manakala kadar lantai adalah 1.5 peratus.

Keputusan hari ini merupakan penurunan OPR buat kali ketiga pada tahun ini selepas mengambil keputusan yang sama pada Januari dan Mac, bermakna jumlah pengurangan adalah sebanyak 125 mata peratusan setakat ini.

“Pengurangan OPR memberikan dasar rangsangan tambahan untuk mempercepatkan kadar pemulihan ekonomi.

“MPC akan terus menilai situasi serta implikasi keseluruhan terhadap inflasi dan pertumbuhan domestik,” kata Bank Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, aktiviti ekonomi merudum teruk pada suku kedua tahun ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik yang dilaksanakan di peringkat domestik serta antarabangsa.

Aktiviti ekonomi mula dibuka semula sejak awal Mei manakala pakej rangsangan ekonomi beserta langkah-langkah monetari dan kewangan akan terus menyokong unjuran ekonomi yang lebih baik.

Unjuran ekonomi domestik yang lebih baik dijangka disokong oleh pemulihan global bagaimanapun, kadar pemulihan serta kekuatannya masih mempunyai risiko sama dari dalam atau luar negara.

“Ini termasuk kemungkinan berlakunya lanjutan pandemik sehingga menyebabkan langkah-langkah pembendungan terpaksa dijalankan selain persekitaran pasaran buruh yang terus lemah di samping kadar pemulihan pertumbuhan global yang lebih perlahan daripada jangkaan,” katanya.

Tambah Bank Negara, impak Covid-19 terhadap ekonomi global adalah sangat buruk.

Keadaan ekonomi kekal lemah dengan pertumbuhan global dijangka menguncup pada tahun ini.

Tekanan inflasi dijangka rendah tahun ini.

Secara purata, inflasi dijangka berada pada paras negatif disebabkan terutamanya oleh harga minyak global yang rendah. – MalaysiaGazette