PUTRAJAYA – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan kerajaan ada membincangkan mengenai penjajaran semula projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Menurut Mustapa, bagaimanapun tiada keputusan dibuat setakat ini.
“Ada perbincangan dari pihak kerajaan dengan pihak yang terbabit. Ini masih dalam proses perbincangan yang diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan kita serahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tangani perkara ini.
“Saya boleh sahkan ada perbincangan tapi keputusan tiada lagi. Apa-apa keperluan boleh tanya kepada Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada media selepas menghadiri Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pagi tadi.
Media sebelum ini melaporkan Putrajaya sedang membincangkan kemungkinan mengembalikan jajaran ECRL kepada cadangan pertama di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Pengembalian semula cadangan itu terutamanya melibatkan bahagian C iaitu jajaran bahagian Lembah Klang yang menghubungkan ke Pelabuhan Klang.
Mustapa turut ditanya mengenai dakwaan kerajaan akan menanggung lebihan RM20 bilion ekoran penjajaran semula ECRL, beliau berkata, perkara itu harus dijawab Kementerian Pengangkutan.
“Boleh utarakan persoalan itu kepada Kementerian Pengangkutan, masih belum ada sebarang keputusan.
“Itu khabar angin, kita tidak boleh buat kenyataan berdasarkan kepada khabar angin. Apa pun rujuk kepada Menteri Pengangkutan,” katanya lagi.
Ahad lalu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, mahu Putrajaya mengekalkan jajaran ECRL yang diusahakan kerajaan PH bagi menghubungkan laluan ke arah selatan Lembah Klang menerusi Negeri Sembilan.
Ia susulan perbincangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan jajaran projek ECRL mengikut cadangan pertama di bawah kerajaan BN di mana ia akan merentasi sebelah utara Lembah Klang melalui Gombak dan Serendah ke Pelabuhan Klang. – MalaysiaGazette
















