Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR- Kerajaan percaya penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali ketiga tahun ini dan digabung dengan pelbagai pakej rangsangan yang telah diperkenalkan sejak Mac lalu mampu merangsang ekonomi negara.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, inisiatif-inisiatif berkenaan dapat mewujudkan peluang pekerjaan, mengembalikan keyakinan pengguna dan pelabur serta membendung kemungkinan penguncupan ekonomi secara mendadak.

Jelasnya, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia itu bertujuan mempercepatkan kadar pemulihan dan seterusnya merangsang ekonomi negara.

“Pemulihan ekonomi Malaysia juga tertakluk kepada usahasama semua pihak termasuk syarikat-syarikat korporat, PKS, peniaga dan pengguna terutamanya bagi memastikan bahawa nyawa dan kehidupan Rakyat dilindungi, serta ekonomi diperkukuh.

“Di samping itu, ekonomi Malaysia juga dijangka bertambah baik selari dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia yang dijangka pada tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sehingga 7 Julai, pakej-pakej rangsangan yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion tersebut telah berjaya memanfaatkan sekitar 800,000 perniagaan dan menyelamatkan lebih kurang 2.6 juta pekerjaan.

Tegasnya, tempoh tiga hingga enam bulan yang akan datang merupakan jangka masa yang penting bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah PENJANA yang dijangka akan membuahkan hasil menjelang Suku Ketiga atau Suku Keempat 2020.

“Kerajaan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan agar ekosistem kewangan dan pelaburan Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan di jangka masa pendek dan sederhana bagi terus menjamin kemampanan and ketahanan ekonomi Malaysia di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan: OPR turun kali ketiga kepada 1.75 peratus

Hari ini Bank Negara Malaysia mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata peratusan kepada 1.75 peratus.- MalaysiaGazette