Kim Jong-un dan Donald Trump semasa pertemuan mereka kali pertama di Singapura pada Jun 2018. foto Reuters

SEOUL – Korea Utara tidak berhasrat untuk berbincang dengan Amerika Syarikat (AS), justeru meminta Korea Selatan “berhenti campur tangan,” kata seorang diplomat kanan.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang kedatangan seorang wakil AS di Seoul dalam usaha untuk memperbaharui rundingan nuklear dengan Pyongyang.

Kwon Jong Gun, Ketua Pengarah Perwakilan AS di Kementerian Luar Pyongyang mendakwa Korea Selatan telah salah menafsirkan pernyataan wakil Menteri Luar Negeri, Choe Son Hui yang menolak “desas-desus” mengenai pertemuan antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump.

Sabtu lalu Choe berkata, Korea Utara tidak merasakan perlunya sidang kemuncak baharu, beberapa hari setelah Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, menawarkan diri untuk menjadi orang tengah antara Kim dan Trump, mencadangkan kedua-dua pemimpin itu bertemu lagi sebelum pilihan raya AS pada bulan November.

“Sudah waktunya untuk berhenti campur tangan dalam urusan orang lain tetapi nampaknya tidak ada penawar atau untuk kebiasaan buruk itu.

“Kami tidak berminat untuk bersemuka dengan Amerika Syarikat,” kata Kwon dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi KCNA.

Trump dan Kim bertemu untuk pertama kalinya pada 2018 di Singapura, meningkatkan harapan bagi menamatkan program nuklear Pyongyang.

Tetapi sidang kemuncak kedua untuk rundingan kerja seterusnya yang berlangsung pada tahun 2019 di Vietnam gagal.

Timbalan Setiausaha Negara AS, Stephen Biegun, yang mengetuai rundingan dengan Korea Utara akan tiba di Seoul pada Selasa ini untuk berbincang dengan pegawai Korea Selatan mengenai cara untuk menghidupkan semula rundingan tersebut.

Minggu lalu, Biegun memaklumkan ada masa lagi bagi kedua-dua pihak untuk terlibat kembali dan “membuat kemajuan besar,” tetapi pandemik koronavirus menyukarkan sidang kemuncak secara peribadi dilakukan sebelum pilihan raya Presiden AS pada 3 November ini. – MalaysiaGazette