Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin melawat tapak pameran selepas merasmikan Webinar TOT 2020 Seminar Pemindahan Teknologi MPOB ketika di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2020.

BANGI – Malaysia berhasrat untuk memberi fokus kepada produk hiliran sawit serta membantu pekebun-pekebun kecil kelapa sawit dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Menurut Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Willie Anak Mongin, kebanyakan inovasi produk hiliran sawit dibuat di luar negara sedangkan Malaysia masih menumpukan kepada industri huluan walaupun menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia.

“Kementerian mencadangkan supaya peruntukan diberikan dalam bidang pendidikan dan inovasi supaya mereka boleh belajar serta melakukan penyelidikan bagi mencipta dan menambah baik produk-produk hiliran berasaskan sawit,” katanya semasa sidang media selepas mewakili menterinya merasmikan Webinar Pemindahan Teknologi 2020 di sini hari ini,

Selain inovasi produk hiliran, Kementerian Peladangan dan Komoditi juga komited untuk membantu pekebun-pekebun kecil sawit dengan menawarkan geran kepada pengusaha yang mempunyai ladang bersaiz 2.5 hektar ke bawah.

Manakala pekebun yang mempunyai ladang yang lebih luas akan ditawarkan pinjaman.

“Semua ini adalah cadangan kami supaya dimasukkan dalam RMK12.

“Saya tidak boleh memberitahu nilai geran tersebut kerana perkara ini masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga komited untuk memastikan semua ladang sawit mendapat persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Tegasnya, persijilan itu penting bagi menangani tohmahan daripada pihak yang mendakwa penanaman sawit di Malaysia telah menyebabkan pembalakan, isu alam sekitar serta buruh kanak-kanak.

Ia juga dapat memberi keyakinan kepada pembeli terutamanya dari luar negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast