Foto Instagram Azza.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Azza Elite mengakui dia tidak mampu memberi sumbangan kepada semua yang sering meminta bantuan di laman sosialnya.

Menerusi Instagram miliknya, Azza turut terkilan kerana terdapat sikap segelintir individu yang bersikap mendesak, selain ada yang tidak jujur dan menipu untuk mudah mendapat wang.

“Kak Za (panggilan Azza) nak tegur sikit ramai sangat DM Kak Azza minta bantuan, ya faham! Saya nak beritahu saya tak mampu nak tolong semua orang.

“Hari-hari kamu DM minta bantuan sampai mendesak… apakah? Saya sendiri hari-hari berniaga, bubuh gambar baju ada yang beli ada yang tidak tapi saya tetap yakin Allah bantu saya bukan bermakna kita duduk minta bantuan sahaja.

“Ada tu minta bantuan tapi gambar satu saja… mana kejujuran kamu, cuma berhentilah DM saya,” katanya menerusi laman Instagram itu hari ini.

Sementara itu, Azza memberitahu sebagai anak seni, dia turut terkesan dengan keadaan semasa berikutan penularan wabak Covid19.

Malah, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia hanya mengharapkan jualan pakaian secara dalam talian bagi menampung kehidupannya dan keluarga.

“Saya juga berhempas pulas… tolong faham saya tidak ada gaji bulanan, saya tidak meniaga di Singapura sudah empat bulan. Mujur saya ada shooting, duit inilah saya tolong mak dan keluarga.

“Nasib hutang kereta bank bagi tangguh pembayaran, saya jimat kos dengan tutup kedai dan buat online sahaja. Kalau tak ada penggambaran saya sanggup hantar barang kepada pelanggan.

“Tolong faham saya, janganlah meminta sampai mendesak-desak, kalau saya dapat pergi Singapura (berniaga) sedap juga… tapi pintu belum dibuka! Mudah-mudahan yang meminta faham keadaan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azza turut menasihati individu berkenaan berusaha mencari sumber pendapatan menggunakan kudrat yang ada dan sentiasa percaya dengan rezeki Allah SWT. – MalaysiaGazette