Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mereman bekas setiausaha politik kepada bekas menteri.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman itu terhadap individu berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan bagi projek selenggaraan sistem keselamatan negara yang dianggarkan bernilai lebih RM56 juta.

Tempoh reman itu bermula hari ini sehingga 13 Julai.

Menurut sumber, bekas Setiausaha Politik yang berusia 49 tahun tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 8 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati suspek dikatakan telah menerima wang rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat.

Imbuhan itu sebagai balasan mendapatkan projek sistem tersebut secara rundingan terus dengan sebuah kementerian pada sekitar Ogos 2019.

SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Untuk rekod, SPRM pernah membuka siasatan terhadap pegawai itu pada 2018 atas tuduhan bahawa dia menerima wang lebih RM800,000 dari beberapa pihak untuk menyelesaikan statusnya yang muflis. -MalaysiaGazette