Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media berkenaan kegiatan pengedaran dadah oleh warga tempatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Rancangan tiga suspek sindiket dadah untuk menjadikan sebuah kondominium mewah sebagai tempat simpanan dadah tidak bertahan lama.

Ini kerana pihak berkuasa dapat menghidu tindakan mereka membawa keluar syabu dan beberapa jenis dadah lain dalam kuantiti yang kecil untuk diedar dan dijual kepada pelanggan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksana.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 35 tahun itu telah ditahan dan dadah bernilai RM2.05 juta dirampas.

Selain itu, katanya, wang tunai disyaki hasil jualan dadah berjumlah RM625,867.93 turut dirampas oleh pasukan Narkotik Polis Daerah Sentul dalam beberapa serbuan di tiga kawasan perumahan pada 3 dan 6 Julai lalu.

Menurut Mazlan, pasukan narkotik Sentul bertindak atas maklumat menahan seorang suspek lelaki India berusia 28 tahun yang memandu Perodua Axia pada pukul 12.30 tengahari 3 Julai lalu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dipandu suspek berjaya merampas dadah jenis syabu anggaran berat RM500 gram manakala saringan air kencing negatif.

“Hasil soal siasat terhadap suspek pertama berkenaan polis pada hari yang sama jam 2 petang telah menyerbu sebuah kondominium di Jalan Metro Perdana, Kepong dan berjaya merampas 300 gram dadah Syabu bersama wang tunai RM1,300.

“Tanpa terhenti di situ, polis pada hari yang masa jam 5.40 petang telah menyerbu satu lagi kediaman di Taman United, Kuala Lumpur sebelum menahan seorang lelaki India Muslim berusia 36 tahun di hadapan pintu lobi lif di tingkat 6 bangunan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen di Jalan Imbi di sini, hari ini.

Tambah Mazlan, hasil pemeriksaan di kondominium suspek kedua, polis menemui dadah jenis syabu seberat 30.6 kilogram (kg), heroin seberat 2.9 kg, 50,000 biji pil eramin 5dan wang tunai sebanyak RM9,500.

Ujar beliau, setelah disoal siasat suspek kedua mengakui dia ditugaskan untuk menjaga kondominium itu yang dijadikan tempat simpanan dadah semasa PKP.

Katanya, kedua-dua kondominium di Metro Perdana dan Taman United masing-masing disewakan kepada sindiket itu dengan kadar RM1,800 dan RM2,400 sebulan.

“Ujian saringan urin terhadap kedua-dua suspek menunjukkan negatif dan mereka ditahan reman selama enam hari dari 4 hingga 9 Julai ini dan disiasat di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Namun pada 6 Julai lalu polis turut menahan suspek ketiga bangsa India berusia 28 tahun juga di sebuah kondominium di Jalan Kuchai, Kuchai Lama ketika sedang turun dari unit kediamannya yang turut berkait rapat dengan dua suspek awal dari segi urusniaga dadah berkenaan.

“Bersama suspek itu polis telah berjaya merampas wang tunai berjumlah besar termasuk mata wang asing kesemuanya bernilai RM625,867.93 selain barang kemas bernilai RM284,000 serta sebuah kenderaan.

“Mereka aktif selama tiga bulan di ibu negara dalam pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang dan ini merupakan kejayaan dadah terbesar semasa PKPP yang dilumpuhkan polis,” ujar beliau.

Kata Mazlan, polis masih memburu beberapa lagi individu disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan.

Menurnya ,sekiranya polis boleh mencekup saki baki suspek dan percaya dapat menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan di Lembah Klang

Jelasnya, sindiket berkenaan yang diketuai suspek kedua yang merupakan penjaga tempat simpanan dadah itu menjalankan aktiviti secara kecil-kecilan tetapi melibatkan jumlah dadah yang banyak.

“Mereka juga mengakui menggunakan khidmat pos dan juga orang untuk mengedar dadah dalam jumlah kecil-kecilan berdasarkan permintaan pelanggan mereka.

“Dalam tangkapan ini, suspek ketiga berusia 28 tahun yang ditahan Jalan Kuchai mempunyai rekod lampau jenayah ganja dan kesemua wang tunai yang dirampas polis disyaki berkaitan dengan urusniaga dadah.

“Polis kini sedang menyiasat pemilik kedua-dua kondominium yang menyewa premis berkenaan kepada suspek pertama dan kedua yang terlibat dalam kegiatan terlarang menyalahi undang-undang negara ini,” katanya. – MalahysiaGazette