Suasana lengang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- Kesatuan Kebangsaan Krew Penerbangan dan Anak-Anak Kapal Malaysia (NUFAM) meminta bank-bank mempertimbangkan lanjutan moratorium kepada pekerja syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Tambahnya, industri penerbangan tidak menampakkan tanda-tanda akan pulih dalam masa terdekat.

Dengan itu, bank-bank tidak boleh berharap keadaan kembali normal selepas September ini, katanya.

“Kami menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk meringankan proses pembayaran hutang yang mana kebanyakan pekerja syarikat penerbangan susah untuk melakukannya disebabkan perintah kawalan pergerakan sejak Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah NUFAM, walaupun kes positif Covid-19 di Malaysia semakin rendah namun situasi yang dihadapi oleh industri tetap teruk kerana kebanyakan negara masih menutup sempadan masing-masing.

Syarikat-syarikat penerbangan juga tidak lagi boleh beroperasi seperti biasa kerana banyak SOP yang perlu dipatuhi.

Selain itu, keyakinan penumpang untuk menggunakan pengangkutan udara juga masih rendah.

“Perniagaan tidak boleh dijalankan seperti biasa untuk tempoh dua hingga tiga tahun lagi,”ujarnya.

Menurut NUFAM, semalam mereka ada menerima rungutan daripada pekerja-pekerja syarikat penerbangan yang telah diberikan surat peringatan oleh bank.

Kebanyakan mereka telah dibuang kerja serta masih muda dan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi, katanya lagi.

Bank juga katanya patut berhenti daripada menggunakan cara kasar dengan memberikan surat peguam kepada pekerja-pekerja yang telah dibuang kerja kerana Covid-19. -MalaysiaGazette